Hari nie dah hari ker 12 syawal...pada semua readers dan bloggers yang dah settle puasa 6 dari raya kedua Alhamdulillah...tahniah untuk ada...Aku nie masih terkial-kial lagi tak start walaupun sehari..maklumla..dengan jemputan open house dan sanak saudara yang datang beraya dirumah(mak mertua) agak membataskan untuk aku berpuasa..nak masak kan untuk orang nak rasa jugak nanti tak sedap kalau tak rasa (hehe:d alasan jer nie)..
Setelah berkira-kira..InsyaAllah esok dengan penuh iltizamnya akan ku mula berpuasa 6 syawal...balik nie nak cakap kat en. husban puasa sekali..sebenarnya dia dah ajak dari hari tu..aku yang tak boleh nak puasa lagi...Abang..esok kita puasa yer..moga Allah permudahkan niat kita nie...lepas tue sayang sambung mengganti puasa pulak..Dalam sibuk-sibuk kita beraya dan menghadiri undangan "Open House", nak jugak aku bercerita tentang kebaikan berpuasa 6 syawal nie..Bukan niat ku untuk mengajar..tetapi berkongsi ilmu yang sedikit untuk tatapan pembaca..InsyaAllah..mudah-mudahan kita sama-sama mendapat manfaatnya..
Berbicara tentang Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu membawa berbagai-bagai erti dan makna. Membawa kembali pelbagai kenangan dan ingatan. Suka dan duka silih berganti. Kenangan manis dan kenangan sedih.
Apa jua yang berlaku, 1 Syawal tetap disambut dengan penuh gilang-gemilang. Tak kira tua, muda, miskin dan kaya semuanya bergembira tatkala tarikh kemenangan itu menjelma. Ada antara kita menikmati juadah pagi raya seperti lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah.
Sementara menanti makan tengah hari pula, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.
Kemeriahan sebegini bukan sahaja dirasai pada 1 Syawal sahaja, tetapi sepanjang bulan tersebut. Bagi yang berpuasa sunat enam Syawal (dimulakan pada 2 Syawal, iaitu sehari selepas Hari Raya Aidilfitri) berpuasa bukanlah penghalang untuk tidak menghadiri jamuan rumah terbuka sahabat handai dan jiran-jiran.
Tidak salah untuk hadir, yang penting, beritahu pada tuan rumah bahawa kita sedang berpuasa. Ini bagi menjaga hati dan perasaan rakan-rakan yang mengundang kita.
Memberitahu sahabat handai bahawa kita sedang berpuasa pada waktu itu bukanlah suatu yang riak. Perkara sebegini tidak termasuk dalam riak, asalkan niat kita betul dan semata-mata menjaga perasaan rakan-rakan.
Pelaksanaan puasa enam Syawal
Sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama mengenai puasa itu dilaksanakan, sama ada secara berturut-turut atau berselang- selang.
Sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama mengenai puasa itu dilaksanakan, sama ada secara berturut-turut atau berselang- selang.
Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Mohd Shukri Hanapi berkata, ada juga pandangan lain boleh dilakukan secara berselang-selang (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya Syawal. Hal ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam Syawal, Baginda SAW hanya menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
Oleh itu, puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan pada mana-mana hari dalam Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir Syawal.
“Adalah lebih afdal (utama) disegerakan pelaksanaan puasa sunat enam Syawal. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang amat luas, seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133) ,” katanya.
Beliau berkata, masih ramai tidak sedar akan ganjaran pahala disediakan Allah sekiranya berpuasa enam.
“Saya berpendapat, langkah paling utama menjelaskan kepada umat Islam tentang hal ini. Tanggungjawab menjelaskannya tidaklah terletak pada golongan ustaz sahaja, malah setiap individu berilmu patut memainkan peranan.
“Misalnya, seorang bapa berperanan mendidik ahli keluarganya berpuasa sunat secara bersama. Begitu juga seorang ketua di pejabat, dia berperanan mengajak pekerjanya sama-sama melaksanakan puasa sunat enam Syawal dengan menetapkan hari-hari tertentu dalam Syawal untuk mereka berpuasa selagi tidak membebankan,” katanya.
Menurutnya, pelbagai alasan sering kali diberikan oleh golongan yang tidak mahu menunaikan puasa sunat, antaranya, menerima banyak jemputan kenduri atau rumah terbuka, ingin menziarahi rumah sahabat handai, letih melayan anak-anak dan banyak kerja berat hendak dilakukan.
“Alasan paling popular pada ketika ini ialah puasa enam Syawal itu hanya sunat. Tidak berdosa pun jika tidak melakukannya. Hal ini bertepatan peribahasa Melayu “Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih”,” katanya.
Beza puasa Syawal dan Ramadan
Puasa Syawal dan Ramadan mempunyai beberapa perbezaan. Pertama, dari aspek hukum, puasa Syawal sunat, manakala puasa Ramadan wajib dan termasuk dalam satu daripada Rukun Islam. Sesiapa meninggalkan puasa Syawal tidak diwajibkan qada (ganti), tetapi berbeza dengan orang yang meninggalkan puasa Ramadan, mereka wajib mengqadanya semula pada hari-hari lain. Kedua, puasa Ramadan (wajib) lebih tinggi darjatnya daripada puasa Syawal (sunat). Ketiga, puasa Syawal boleh terus dilakukan bermula 2 Syawal, manakala puasa Ramadan tertakluk kepada penetapan anak bulan terlebih dahulu atau secara hisab (mencukupkan 30 hari Sya‘ban). Keempat, jumlah hari puasa Syawal hanya enam hari sahaja, manakala puasa Ramadan dilakukan sebulan (30 hari).
Beliau berkata, disunatkan berbuka dengan buah kurma bagi mereka yang berpuasa enam Syawal.
“Tidak kira puasa wajib atau sunat, semuanya disunat berbuka dengan kurma, sama ada kering ataupun yang basah (paling afdal). Sekiranya tiada kurma, disunatkan berbuka dengan air. Hal ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa, iaitu “Nabi SAW berbuka sebelum solat (Maghrib) dengan beberapa biji buah kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tidak ada juga, Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)
Gabung puasa qada dan sunat enam Syawal
Isu menggabungkan puasa qada dan sunat enam Syawal sememangnya amat popular di negara ini.
“Pandangan ringkas saya tentang perkara ini ialah tidak elok menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh badan dan lain-lain) untuk memisahkannya (dilakukan secara berasingan). Ini kerana, tidak ada dalil jelas membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada sahabat untuk menggabungkan antara kedua-duanya,” ujar Mohd Shukri.
Beliau berkata, apabila Nabi SAW, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, maka sudah pasti ia bukanlah amalan terpilih dan terbaik untuk diikuti, kerana pilihan Nabi SAW dan sahabat selama-lamanya adalah terbaik.
Kesimpulannya, elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan wajib (qada) daripada sunat (puasa sunat enam Syawal).
SELAMAT BERPUASA SUNAT 6 SYAWAL.
0 comments:
Post a Comment